Tempatan

Sarawak catat 2,192 kes keganasan rumah tangga dari 2020-2023

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 2,192 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2020 sehingga Ogos 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, rekod berkenaan adalah berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau lagi, Sarawak merupakan negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kedah.

“Keganasan terhadap wanita boleh diertikan sebagai apa-apa tindakan keganasan yang berdasarkan gender yang mengakibatkan atau berpotensi untuk mengakibatkan kecedaraan fizikal, seks atau psikologi atau yang penderitaan kepada wanita.

“Tindakan ini juga meliputi ugutan untuk melakukan perkara tersebut, paksaan atau perbuatan menyekat kebebasan, sama ada berlaku dalam kehidupan persendirian atau awam.

“Kebanyakan keganasan terhadap wanita dilakukan oleh orang yang dikenali wanita tersebut dan kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi. Keganasan terhadap wanita yang paling kerap adalah keganasan yang dilakukan oleh pasangan wanita yang merangkumi suami, bekas suami atau teman lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.

Nancy turut memberitahu, kes keganasan rumah bagi seluruh negara telah mencatatkan kes sebanyak 22,908 kes sejak tahun 2020 sehingga Ogos 2023.

Katanya, terdapat peningkatan kes yang tinggi pada tahun 2021 iaitu sebanyak 7,468 kes berbanding pada tahun 2020 yang mencatatkan sebanyak 5,260 kes.

Manakala, bagi tahun 2022, ujar beliau, jumlah kes keganasan rumah tangga masih lagi tinggi walaupun menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,540 kes.

Sementara itu, dedahnya lagi, bagi tahun ini pula iaitu sehingga Ogos 2023, sebanyak 3,640 kes telah dicatatkan.

Justeru beliau menekankan bahawa, tanggungjawab membanteras keganasan terhadap wanita bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata malah ia merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh semua pihak termasuk masyarakat.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *