MIRI: Sarawak mendahului tempat lain dalam beberapa aspek termasuk pembangunan digital, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurutnya, pada Isnin lepas, beliau menerima kunjungan tetamu dari Pahang yang ingin belajar cara Sarawak membangunkan bandar pintar.
“Berani saya menyatakan Sarawak mendahului tempat-tempat lain. Selain itu, kita agak ke hadapan dalam aspek pembangunan tenaga hijau daripada gas hidrogen.
“Malah pada minggu lepas saya menerima kunjungan sebuah syarikat Jepun yang mempunyai komitmen untuk melabur di Bintulu bagi mengeluarkan gas hidrogen untuk diekspot,” ujarnya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Wanita Sarawak 2022 yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah di Miri pada Selasa.
Dari segi industri kreatif, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata anak-anak muda Sarawak sekarang mempunyai ruang yang lebih luas untuk menonjolkan bakat mereka dengan adanya TVS.
Malah Sarawak katanya satu-satunya negeri yang mempunyai stesen televisyen sendiri.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mempunyai masa depan yang cerah dan yakin kaum wanita akan memainkan peranan yang penting dalam program pembangunannya hingga ke tahun 2030 serta seterusnya.
“Oleh itu, saya menyeru agar kaum wanita untuk memainkan peranan bagi memastikan perpaduan rakyat negeri ini terus kukuh dan sekata dalam usaha mengembalikan hak-hak yang telah terhakis.
“Sarawak perlu menunjukkan kepada seluruh Malaysia bahawa kita adalah satu rakyat yang bersatu dengan satu suara untuk mendapatkan semula hak kita,” tegasnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menzahirkan penghargaan kepada golongan wanita kerana memberikan sokongan padu dan kepercayaan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan usaha mentadbir dan membangunkan negeri ini. – SN