KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan berkata perkara ini telah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selaras dengan pengumuman dibuat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu.
Ini bermakna Sarawak akan menggunapakai ketetapan serta protokol baharu langkah-langkah kawalan serta pencegahan COVID-19 seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkuat kuasa 1 Mei ini.
Justeru, pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka bagi negeri ini seperti ditetapkan KKM.
Terdahulu, pada Rabu Khairy telah mengumumkan bahawa imbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk ke premis tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 1 Mei .
Bagaimanapun, beliau berkata pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu yang akan memasuki premis untuk memastikan mereka dengan status ‘High Risk’ iaitu kes positif COVID-19 dan yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis tersebut.
Pada sama sama Khairy berkata kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.
“Mereka yang positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap masih tidak dibenarkan masuk ke premis.
“Ini termasuk individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya yang turut meminta orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.