KUCHING: Gelaran ‘Premier’ bagi menggantikan gelaran Ketua Menteri Sarawak hanya boleh mula digunakan selepas ianya diwartakan oleh kerajaan negeri.
Ia ditegaskan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil berkata pewartaan akan melalui beberapa proses hingga dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau menjelaskan, satu tarikh spesifik akan ditetapkan untuk menguatkuasakan penggunaan gelaran tersebut secara rasmi setelah ia mendapat persetujuan.
“Secara rasmi perlu ditunggu sehingga ianya diwartakan. Proses seterusnya yang mana antara lain sehingga dibawa ke peringkat Tuan Yang Terutama untuk diberi persetujuan dan akan ditetapkan tarikh spesifik bila ia boleh dikuatkuasakan,” jelas Dato Sri Abdul Karim dalam sidang media di Bangunan DUN baru pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan turut berharap proses pewartaan itu dapat dilakukan dengan cepat untuk mengelak sebarang spekulasi.
“Nanti, kalau ditunggu sehingga berbulan-bulan, ia akan menyebabkan spekulasi yang baru, kenapa perlu menunggu selama berbulan. Kalau dapat dalam masa sebulan atau seminggu, lagi elok,” tambah beliau.
Pada Selasa, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 untuk menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier dengan sokongan dua pertiga dari Ahli Dewan Undangan Negeri.
RUU itu turut mengubah gelaran Timbalan Ketua Menteri kepada Timbalan Premier Sarawak dan gelaran Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.
Sementara itu, mengulas mengenai persetujuan antara Malaysia dan Brunei untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau VTL, Dato Sri Abdul Karim yakin kerjasama tersebut mampu merancakkan semula sektor pelancongan negeri ini.
Katanya, Kerajaan Sarawak menyambut baik kerjasama itu dan berharap ianya dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
“VTL ini akan membawa masuk ramai warga-warga daripada Brunei yang berkunjung ke Miri. Sebelum Covid-19 melanda Malaysia dan dunia, pengunjung yang paling ramai masuk ke dalam negeri Sarawak adalah dari Brunei,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau berharap laluan VTL ini turut dipersetujui bersama Singapura dan Indonesia yang mempunyai kepentingan kepada industri pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa, mengumumkan Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan laluan VTL udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara. – SN