Dunia

Sarawak- Jepun tandatangan MoU, jalinkan kerjasama kelestarian hutan

JEPUN: Kerajaan Sarawak, menerusi Jabatan Hutan Sarawak (JHS), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Kajian Alam Sekitar Negara (NIES), Jepun pada Jumaat dalam peningkatan kerjasama penyelidikan ke arah Pengurusan Hutan Lestari (SFM) di Sarawak.

JHS dalam kenyataan medianya memberitahu, MoU berkenaan dilihat sebagai elemen penting dalam membangunkan metodologi yang berkesan untuk menilai dan melaksanakan fungsi serta perkhidmatan ekosistem hutan sejajar dengan rangka kerja biodiversiti global di bawah CBD COP15.

“Bidang kerjasama di bawah MoU itu merangkumi penyelidikan SFM, pemuliharaan ekosistem hutan, dan kepelbagaian biologi.

“Ia juga melibatkan penubuhan standard metodologi penyelidikan untuk rangkaian Plot Sampel Kekal, dokumentasi standard dan pengendalian data penyelidikan, serta analisis data bersama,” katanya.

Sebelum majlis tandatangan, pihak-pihak terlibat turut menyertai simposium anjuran NIES, Jepun bertajuk “Bilateral Collaboration Research Towards SFM di Sarawak” mengenai kepentingan data saintifik dan maklumat berasaskan sains dalam membuat keputusan berkaitan SFM.

Presiden NIES, Jepun, Dr. Kimoto Masahide, menyatakan, matlamat bersama pihaknya untuk mencipta masyarakat mampan sejajar dengan usaha penyelidikan SFM di Hutan Tropika Sarawak.

“Komitmen hari ini akan mengukuhkan hubungan dan membuka jalan bagi kerjasama berinovasi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad, menekankan kepentingan asas penyelidikan yang kukuh dan penggunaan teknologi terkini untuk menyokong pengurusan hutan yang mampan di Sarawak.

“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menghadapi cabaran pembangunan secara holistik dan lestari,” katanya.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknewsofficial/

Tiktok: https://www.tiktok.com/@sarawaknews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *