KUCHING: Kes membabitkan varian Omicron yang sangat berjangkit iaitu BA.2.12. 1 dan BA.5 telah dikesan di Sarawak baru-baru ini.
Ia didedahkan oleh Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. David Perera dalam laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini pada Khamis.
“Hari ini, kami ingin melaporkan data pengawasan kami untuk kes positif COVID-19 dari 1 Mac hingga 16 Jun tahun ini.
“Sebanyak 1,229 sampel berjaya disusun dalam tempoh tersebut. Semuanya dikesan sebagai Variant of Concern (VOC). B.1.1.529.
“Sampel ini mewakili kes positif yang diperoleh di seluruh negeri,” katanya dalam laporan berkenaan.
Daripada jumlah ini katanya, BA.2 terus menjadi subvarian beredar yang dominan dan dengan beberapa sub-keturunan kecilnya dikesan.
“Bagaimanapun, pada minggu terakhir Mei, kami mengesan kejadian pertama BA.2.12.1 yang sangat berjangkit daripada kes di Kuching dan BA.5 daripada kes di Sibu.
“Seterusnya, satu kes tambahan BA 2.12.1 dan tiga kes BA.5 dikesan di Kuching sehingga minggu kedua dan ketiga bulan Jun.
“WHO sebelum ini telah menandai kedua-dua sub-keturunan ini sebagai sangat menular dengan kadar penghantaran yang lebih pantas berbanding induk Omicron VOC,” katanya.
Menurut Prof. Dr. David, kes BA 2.12.1 pertama kali dikesan di Amerika Syarikat dan terus menjadi pendorong utama jangkitan di negara itu.
Sementara itu, BA.5 pertama kali dikesan di Afrika Selatan, telah menyebabkan peningkatan baru-baru ini dalam kes COVID-18 di beberapa negara di seluruh dunia, jelasnya lagi.
“Memandangkan perkembangan ini, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.
“Mereka juga dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan penggalak jika mereka belum mengambilnya terutama bagi individu yang mempunyai komorbiditi dan mereka yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya. – SN