Sukan

Sarawak komited promosi dan asah bakat muda baharu dalam sukan bola sepak dan hoki

KUCHING: Terdapat lima Akademi Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) Malaysia dan Pusat Latihan Daerah (PLD) NFDP di Sarawak merupakan rancangan jangka panjang untuk membangunkan atlet daripada akar umbi di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata program berkenaan juga bertujuan untuk mempromosikan sukan bola sepak di sini.

Menurutnya program tersebut dikhaskan kepada pelatih-pelatih yang berumur 7 hingga 17 tahun itu dipilih dari seluruh negeri dan mengikuti setiap sesi latihan yang dirancangkan bagi setiap pusat di seluruh negeri.

Awang Putrayusrie memberitahu program seperti ini adalah usaha bagi mengasah dan mengembangkan bakat anak muda di Sarawak khususnya dalam sukan bola sepak dan hoki.

“NFDP merupakan satu program peringkat kebangsaan di bawah kawal selia Majlis Sukan Negara (MSN) yang wujud di setiap negeri di Malaysia ini.”

“Sarawak juga tidak ketinggalan dari segi program-program di bawah NFDP ini. Bukan setakat NFDP, tetapi kita juga ada Program Pembangunan Hoki Kebangsaan,” katanya.

Awang Putrayusrie berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel NFDP di Hotel Penview di sini, pada Isnin.

Justeru itu, katanya SSC dan NFDP berpotensi untuk berkolaboratif sebagai usaha pembangunan sukan di negeri ini.

“Jadi, di peringkat Kerajaan Negeri Sarawak iaitu SSC, kita mengalu-alukan penglibatan NFDP di Sarawak bagi bersama-sama membantu Sarawak dalam pembangunan sukan di Sarawak ini.”

“Seperti yang kita sedia maklum, SSC dan NFDP sudah lama wujud dan menyertai program pembangunan sukan di peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Jelasnya dengan adanya kerjasama di antara SSC, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Pendidikan Negeri, ia akan memudahkan pelaksanaan program di masa akan datang.

“Dengan adanya program seperti ini, kita boleh guna sama fasiliti sukan yang ada di kawasan masing-masing di Sarawak. Jadi, saya rasa peluang ini kita perlu ambil.”

“Setakat ini, terdapat lima pusat NFDP yang sudah diwujudkan di Sarawak. Kerjasama antara pihak yang terbabit iaitu Kerajaan Negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan melalui NFDP, MSN dan Kementerian Pendidikan Negeri amat diperlukan supaya kita dapat saling bantu-membantu dalam program yang diadakan,” tegasnya.

Selain itu katanya, aspek pembangunan kejurulatihan, NFDP turut menyediakan kursus kejurulatihan bagi memperkasakan kemahiran serta pengetahuan kepada jurulatih-jurulatih.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) merangkap Penaung NFDP Sarawak, Datuk Abdullah Saidol serta Pengarah MSN Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, Mohd Safrushahar Yusoff.

Untuk rekod, terdapat lima Akademi TUNAS NFDP dan Pusat Latihan Daerah (PLD) NFDP di Sarawak yang terletak di bahagian Samarahan, Kuching, Serian, Miri dan Bintulu dengan jumlah seramai 720 orang pelatih yang berdaftar untuk kategori umur bawah 12 tahun dan 375 orang pelatih berdaftar untuk kategori di bawah 17 tahun. -TVS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *