Tempatan

Sarawak labur RM1.8 bilion bina menara telekomunikasi

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak telah melabur sebanyak RM1.8 bilion bagi membina menara telekomunikasi di negeri ini.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, jumlah itu tidak termasuk peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bernilai RM4 bilion menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Jelasnya, pembinaan sesebuah menara telekomunikasi itu melibatkan banyak pihak yang berkepentingan termasuk pemilik tanah selain mengambil masa untuk disiapkan. 

“Apabila sesebuah menara siap didirikan, terdapat fasa kedua iaitu proses pemasangan peralatan telekomunikasi oleh operator rangkaian telekomunikasi yang dipilih.

“Seterusnya bekalan elektrik akan disalurkan ke menara ini, baharulah menara ini boleh berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah menara telekomunikasi,” katanya ketika meninjau tapak pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Klait, Sebuyau, pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menyangkal dakwaan kononnya menara telekomunikasi yang telah siap dibina tidak berfungsi. 

Jelasnya, setiap menara telekomunikasi yang dibina akan melalui pelbagai proses sebelum ia dapat beroperasi. 

Untuk rekos, sebanyak sembilan menara telekomunikasi telah didirikan di Sebuyau dengan tiga daripadanya telah siap dan beroperasi sepenuhnya. 

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Sarawak, Adiman Ajem dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Syed Mohd Fauzi Shahab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *