Tempatan

Sarawak lulus RM20 juta laksana 28 projek baharu & naik taraf pusat SeDidik

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi 28 projek baharu dan naik taraf pusat-pusat SeDidik. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata dengan peruntukan ini kemudahan yang lebih baik akan disediakan termasuk melaksanakan inklusiviti bermula dari peringkat awal kanak-kanak. 

Katanya lagi, sejak pengambilan SeDidik pada 22 Julai 2020, kementerian telah memperluaskan akses kepada pembangunan awal kanak-kanak dengan menambah tiga tadika dan dua taska. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan institusi pendidikan awal kanak-kanak SeDidik kepada 98 buah pada 2022 termasuk SeDidik Bandaria, SeDidik Lawas dan SeDidik Semariang Batu. 

Manakala, dua taska iaitu Taska Tempat Kerja UNIMAS dan Taska Tempat Kerja Kompleks Kesejahteraan Komuniti Dalat ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa yang bekerja terutaman yang memerlukan perkhidmatan penjagaan anak berdekatan tempat kerja. 

“Dengan pertambahan akses dan permintaan daripada komuniti setempat, ia menggambarkan bahawa SeDidik terus mendapat kepercayaan daripada masyarakat. 

“Oleh yang demikian, kita harus sentiasa mempertingkatkan kualiti pendidikan, kemudahan serta kualiti guru-guru SeDidik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam SeDidik sempena Sambutan Hari Guru, Ramah-Tamah Aidilfitri dan Gawai Dayak pada Sabtu. 

Ujar Dato Sri Fatimah lagi, salah satu fokus utama dalam pembangunan awal kanak-kanak ialah kualiti pendidik dan pengasuh khasnya untuk SeDidik. 

Setakat 30 April 2022, seramai 84 daripada 143 pendidik SeDidik mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. 

Ujar beliau lagi, sasaran kementerian adalah untuk mencapai 100 peratus guru SeDidik mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2025. 

Beliau turut menyeru warga pendidik SeDidik agar terus meningkatkan kemahiran diri dan tidak berhenti setakat diploma sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *