Tempatan

Sarawak masih dilitupi 62 peratus hutan, antara terbesar di Malaysia 

KOTA SAMARAHAN: Dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang jumlah pokok yang tumbuh subur di Sarawak akan meningkat. 

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datu Hamden Mohamad berkata, ketika ini sebanyak 62 peratus keseluruhan negeri ini masih dilitupi kawasan hutan sama ada hutan asli atau hutan sekunder. 

“Kita menyumbang sebanyak 44 peratus kepada jumlah keluasan hutan di negara ini iaitu satu jumlah yang amat besar iaitu antara ketiga-tiga wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya. 

Beliau berucap pada majlis Perasmian Program Nature Fun Ride & Walk di Sabal Forest Reserve pada Rabu. 

Sehingga kini, JHS telah berjaya menanam sebanyak 21.09 juta pokok sejak dua tahun lepas dan ia melepasi sasaran 7 juta pokok yang ditanam setiap tahun. 

Ujar beliau lagi, jumlah itu lebih separuh daripada sasaran 35 juta pokok yang ditanam dalam tempoh 5 tahun bermula 2021 hingga 2025. 

“Setakat ini kita sudah menanam lebih 21 juta pokok. Jadi, saya percaya pada tahun 2025 nanti kita akan mencapai lebih daripada apa yang kita sasarkan iaitu 35 juta pokok. 

“Jadi, saya amat mengalu-alukan semua masyarakat untuk bersama kami (JHS) menanam pokok-pokok ini,” ujarnya lagi. 

Pada majlis itu, sebanyak 2,000 pokok daripada pelbagai spesis tempatan turut ditanam di kawasan hutan Sabal Forest Reserve itu dengan kerjasama penduduk kampung di sekitar kawasan hutan simpan tersebut. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *