KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kebenaran dalam mengeluarkan permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan tanpa memerlukan kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Perkara ini telah disahkan Timbalan Premeir Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan mendedahkan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKM63) yang bersetuju dengan penambahan pemberian kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak untuk melaksanakan urusan meluluskan pengeluaran semua permit dan lesen vesel penangkapan ikan dan peralatan di Zon A, B dan C.
“Kerajaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada Sarawak untuk mengeluarkan hasil laut dalam, namun ia hanya terhad kepada lesen C2.
“Dalam mesyuarat ini, kita membentangkan kes dan memohon pemberian kuasa penuh untuk mengeluarkan lesen dan peralatan menangkap ikan bagi Zon A, B dan C.
“Dengan kelulusan ini kerajaan Sarawak akan mempunyai kuasa untuk pengeluaran semua permit dan lesen vesel tanpa merujuk kepada Jabatan Perikanan Malaysia di Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 2023 sempena sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini pada Jumaat.
Tambah Uggah lagi, kerajaan Sarawak juga turut diberikan kuasa untuk menentukan persempadanan antara perairan laut dan darat Sarawak.
Jelas beliau, dengan kuasa yang diberikan ini membolehkan kerajaan Sarawak melaksanakan persempadanan antara perairan laut dan darat bagi mengelakkan pertindihan kawasan dan kuasa antara agensi kerajaan Sarawak dan agensi kerajaan Persekutuan.