Tempatan

Sarawak miliki projek terbanyak di Malaysia

KUCHING: Sarawak antara negeri yang mempunyai projek paling banyak di Malaysia, demikian menurut Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Ir. Aidel Lariwoo.

Menurutnya, pembangunan pesat dinikmati Sarawak adalah hasil kebijaksanaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo berkata jumlah projek itu sama ada dari segi bilangan projek mahupun dari bilangan peruntukan.

Menurut Aidel, limpahan pembangunan turut dirasai kawasan Sadong Jaya, Simunjan serta Gedong.

“Dahulunya kita tidak melihat pembangunan seperti ini di kawasan kita.

“Alhdmullillah, dengan kebijaksanaan Premier kita, beliau dapat mencari duit tambahan untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai pembangunan infrastruktur di Negeri Sarawak ini.”

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tiga Tahun Sekali N25 Simunjan Penggal 2022 – 2025 bertempat di Penview Hotel Kuching pada Jumaat.

Katanya, apa yang dicapai Sarawak ketika ini bertitik tolak dari kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bermula dari peringkat ranting hingga ke atasan yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan di setiap kawasan.

Jelas beliau, pembangunan yang ada di kawasan merupakan ilham dari wakil rakyat, ketua masyarakat malah suara dari akar umbi yang mahu melihat pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.

Memberi contoh Simunjan, beliau berkata pembangunan dinikmati di daerah itu hasil usaha keras dan gigih wakil rakyatnya, Awla Dris dan semua ketua-ketua ranting PBB termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Simunjan.

Sementara itu, Awla berkata sambutan diberikan terhadap pemilihan baharu kali ini amat menggalakkan menyaksikan banyak pertandingan.

Jelasnya lagi, ahli PBB yang bertanding haruslah bersemangat untuk memperkasakan parti dengan kerjasama dan mengutamakan perpaduan dalam parti untuk kemakmuran bersama.

Ujarnya lagi, jawatankuasa yang baharu haruslah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa dengan kepimpinan pasukan yang kuat bagi mempertahan parti PBB untuk menerajui Negeri Sarawak. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *