Tempatan

Sarawak pertimbang wujudkan Pusat Songket Sarawak di seluruh negeri

KUCHING: Sarawak mempertimbangkan untuk mewujudkan Pusat Songket Sarawak di seluruh Sarawak dalam usaha menjadikan penghasilan kain tenunan itu satu industri di negeri ini,” demikian kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Kita boleh menggalakkan songket atau mana-mana produk budaya lain seperti Pua Kumbu sebagai industri. Untuk melakukan ini, kita boleh mewujudkan pusat songket di seluruh negeri yang menawarkan ruang untuk pengeluaran, pendidikan dan latihan.

“Ini tidak hanya akan menyuntik rangsangan tenaga kepada ekonomi tempatan tetapi menyediakan tempat kepada setiap komuniti membiasakan diri dengan seni songket,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Komuniti dan Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusian di sini pada Selasa.

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, pusat songket itu boleh menjadi koperasi yang membantu memasarkan Songket Sarawak sebagai satu produk.

Langkah itu katanya akan membolehkan komuniti mempertahankan industri songket masing-masing dan lebih kreatif memasarkan songket keluaran mereka.

“Kita mesti bertanya, bagaimana hendak menggalakkan pasaran dan permintaan terhadap songket? Pengeluaran satu perkara, tetapi tanpa pasaran, songket akan kekal di tampuk lama, dari sudut pandangan ekonomi,” ujarnya.

Dalam membantu membantu meningkatkan permintaan terhadap fabrik tenunan itu, beliau mengesyorkan penggunaan songket semasa majlis negeri atau acara rasmi perlu digalakkan masalah semasa persembahan tradisional seperti silat atau tarian.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pengarah Pusat Rangkaian dan Maklumat Antarabangsa untuk Warisan Budaya Tidak Ketara di Wilayah Asia Pasifik, Kim Jisung dan Presiden Persatuan Pengamal Seni dan Budaya Malaysia (MACPA), Mazuki Tambi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *