KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak merancang untuk melaksanakan e-penduduk di negeri ini dengan menjadikan negara Estonia sebagai model yang menggunakan sistem tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan Sarawak telah menghantar pasukan ke negara tersebut untuk mengkaji mengenai sistem berkenaan.
“Kita perlu mengkaji dahulu kerana di Malaysia, sistem ini adalah perkara yang baharu tetapi di peringkat dunia sistem ini sudahpun ada,”katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, di sini pada Jumaat.
Abang Zohari menambah, e-penduduk itu akan memberi kemudahan kepada kemasukan golongan profesional dan pakar dari seluruh dunia ke negeri ini.
Menjelas lanjut ujarnya, setelah adanya model untuk sistem itu, beliau akan membawa usul berkenaan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk kelulusan bagi memulakannya.
Premier Sarawak memberitahu, status pemegang e-penduduk adalah sama seperti pemastautin tetap di negeri ini dan mereka boleh masuk serta keluar Sarawak tanpa terlalu banyak masalah imigresen.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/