KUCHING: Kerajaan Sarawak menyambut baik pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Bahagian Pertama sebagai salah satu usaha untuk membendung perubahan iklim masa kini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, pelancaran tersebut merupakan salah usaha kerajaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Katanya, matlamat dan rangka kerja yang ditetapkan dalam NETR adalah sejajar dengan PCDS 2030 dan selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut tentang industri karbon, Dr Hazland menambah, Kerajaan Sarawak telah dianugerahkan lesen untuk perdagangan karbon dan Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada Mac tahun ini.
“Kami menggalakkan lebih banyak projek dan inisiatif untuk menjana lebih banyak karbon dari Sarawak untuk dijual ke pasaran domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak juga sedang berbincang untuk menyahkarbonkan industri tempatan dan sistem tenaga di negeri ini yang mana ia akan mengurangkan jumlah gas rumah hijau (GHG) yang dikeluarkan dari atmosfera.
Justeru katanya, Sarawak juga sedang giat membangunkan Dasar Peralihan Tenaga dan Pelan Hala Tuju Tenaga Bersepadu untuk memastikan aspirasi dan matlamat yang ditetapkan dalam PCDS 2030 tercapai.
Beliau turut mengalu-alukan pihak luar yang ingin bekerjasama dengan Sarawak dalam industri tenaga bersih serta menyokong penuh pelancaran NETR Bahagian Kedua pada hujung tahun ini.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/