KUCHING: Pakar antarabangsa dan tempatan berkaitan wabak rabies akan berhimpun dan bertukar pandangan dalam Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2022 pada 4 dan 5 April depan.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud, persidangan itu menyasarkan untuk menghimpun pakar dalam mencegah penularan rabies.
Katanya, susulan penularan Rabies di Amerika (RITA) dan Barat Afrika (RIWA), RIB akan menjadi suara berwibawa dalam pencegahan dan kawalan wabak tersebut dalam komuniti.
“JPVS mensasarkan Sarawak bebas rabies menjelang 2025 dan RIB merupakan salah satu langkah ke arah matlamat itu.
“Untuk RIB yang julung kali diadakan bulan depan, sasarannya adalah untuk memberi tumpuan kepada dua pendekatan pencegahan rabies iaitu kaedah saintifik (perubatan dan veterinar) dan penyertaan masyarakat.
“Persidangan merangkumi topik seperti Penghapusan Rabies: Agenda Global, Pengurusan Kes Gigitan, Penguat kuasaan dan Pelesenan, Rabies di Borneo: Jalan Ke Hadapan, Tanggungjawab Pemilikan Haiwan Peliharaan, Kaedah Tangkapan Berperikemanusiaan, Jajaran Imunisasi dan banyak lagi,” katanya pada Majlis Pelancaran dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persidangan Rabies di Borneo 2022 di sini pada Isnin.
Adrian berkata di Sarawak, JPVS telah berjaya memastikan wabak rabies terkawal dengan baik melalui program kesedaran, pengawasan kawasan terjejas, langkah pencegahan dan program vaksinasi anti-rabies.
Katanya, kajian menunjukkan bahawa kempen vaksinasi besar-besaran telah menjadi langkah paling berkesan untuk mengawal rabies.
“Liputan vaksinasi tinggi dicapai melalui strategi komprehensif yang terdiri daripada kempen pendidikan yang dirancang dengan baik, kerjasama antara sektor, penyertaan komuniti, komitmen dalam perancangan dan pelaksanaan,” jelasnya.
Beliau berkata, program pemvaksinan anti-rabies percuma untuk semua masih diteruskan sehingga hari ini dan telah mendapat sambutan yang sangat baik sejak mula dilaksanakan.
Selain itu, katanya, JPVS sentiasa konsisten mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tempatan melalui media massa terutamanya melalui Internet kerana ia adalah medium terpantas untuk menyebarkan maklumat.
Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarwak kerana mengiktiraf dan menyokong usaha JPVS dalam membasmi rabies di Sarawak.
Beliau turut berharap RIB 2022 akan membantu JPVS mengumpul maklumat terkini dan mencari penyelesaian yang berkesan dan lebih baik dalam memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri serta terus berkembang menjadi persidangan tahunan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. – SN