Tempatan Sarawak sasar jadi pembekal utama elektrik di Asean

Sarawak sasar jadi pembekal utama elektrik di Asean

7

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk muncul sebagai pembekal utama elektrik ke tempat lain di rantau Asean, demikian menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurut Ketua Menteri, melalui sektor tenaga boleh diperbaharui, Sarawak mensasarkan menjadi kuasa besar Asia Tenggara dalam menyediakan tenaga kepada setiap wilayah pada harga berpatutan, boleh dipercayai dan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Saya yakin kita (Sarawak) boleh mencapai sasaran memandangkan kita mempunyai banyak tenaga hidro dan sumber asli yang boleh diperbaharui,” katanya berucap sempena majlis Dialog Awam Seratus Tahun Sarawak Energy: 100 Tahun Memperkasakan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.

Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, sejak 2016, Sarawak telah mengeksport elektrik ke Kalimantan Barat dan dalam masa terdekat akan memulakan eksport elektrik ke Sabah sekali gus merealisasikan Grid Borneo dan menjadi Bateri Asean.

Pada masa sama, beliau berkata projek Kalimantan Utara juga menunjukkan perkembangan baik dalam penyediaannya untuk memuktamadkan keputusan pelaburan.

“Apabila projek ini direalisasikan, ia akan menyumbang kepada kebolehpercayaan bekalan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran,” katanya.

Dalam ucapan sama, Ketua Menteri menjelaskan pembangunan kuasa hidro telah memberikan banyak faedah sosioekonomi kepada rakyat Sarawak terutama dalam merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dengan bandar.

“Loji kuasa hidro kita berada di kawasan luar bandar dan ini memerlukan kita membuka akses untuk kemudahan. Dengan ini, masyarakat luar bandar mendapat manfaat daripada akses jalan raya, kemudahan asas, penjagaan kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata pemilikan penuh Empangan Bakun berkapasiti 2,400 megawatt daripada Kerajaan Persekutuan pada 2017 membolehkan Sarawak menggabungkan sumber tenaga dan merealisasikan sinergi antara Bakun dengan Murum.

Jelasnya, ia menjadikan bekalan tenaga dari Sarawak lebih dipercayai dan pengurusan sumber lebih cekap, sekali gus memudahkan pertumbuhan mampan di negeri ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Previous articleSatu kematian akibat COVID-19 dicatatkan di Sarawak
Next articleKontraktor utama perlu masukkan subkontraktor apabila kemuka tender projek kerajaan
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here