KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia menawarkan bantuan untuk membantu Kerajaan Indonesia membangunkan ibu kota baharunya di Kalimantan Timur, Nusantara,” demikian menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Katanya lagi, Kerajaan Indonesia telah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan bantuan Sarawak bagi membangunkan Nusantara.
Ujar beliau lagi, perkara itu juga katanya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semasa lawatan kerja beliau ke Singapura baru-baru ini.
“Perdana Menteri anda (Singapura) bertanya kepada saya mengenai Nusantara dan sama ada kami (Sarawak) akan membantu mereka (Indonesia). Saya jawap ‘ya’, Kerajaan Indonesia telah meminta bantuan (untuk membangunkan ibu negara baharu).
“Ia (ibu negara baharu Indonesia) hanya kira-kira 400km dari Kapit dan 500km dari Kuching. Untuk ke sana anda hanya perlu menggunakan perkhidmatan udara,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Singapore Business Delegation Networking’ di Kuching pada Selasa.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) Chew Chang Guan, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg dan Pengarah Persekutuan Perniagaan Singapura bagi Asia Tenggara dan Pasifik Tan Sock Hoo.
Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, Sarawak dan Singapura juga boleh bekerjasama dalam membantu Indonesia membangunkan Nusantara kerana ia akan memberi banyak peluang ekonomi kepada kira-kira 30 juta rakyat Indonesia dari Jakarta yang bakal berhijrah ke wilayah baharu itu.
“Inilah masa depan kita, dan bagi Sarawak, kita mengalu-alukan siapa sahaja yang mahu berkolaborasi dengan kita. Mengambil kira Sarawak juga sedang menuju ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tambah beliau lagi.
Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini telah mengumumkan sebuah ibu negara baru akan dibina antara daerah pentadbiran Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.
Kalimantan Timur dengan keluasan kira-kira 125.337 kilometer persegi adalah wilayah Indonesia di timur pulau Kalimantan, yang juga dikenali sebagai Borneo dengan jumlah penduduk lebih sejuta orang.