KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk meminda undang-undang berkaitan isu perumahan di negeri ini.
Pindaan undang-undang ini melibatkan larangan terhadap pemaju perumahan menjual rumah melainkan ia telah siap dibina sepenuhnya.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia satu idea yang baik demi kesejahteraan rakyat terutama pembeli rumah.
“Undang-undang di Sarawak memang kita akan sentiasa kemaskini dan kita bersifat terbuka serta menyambut baik pandangan yang dikemukakan demi kesejahteraan rakyat.
“Undang-undang bersifat tidak statik dan ia boleh dipinda mengikut keadaan semasa dan kita akan sentiasa menyokong sekiranya ia memberi kebaikan kepada rakyat di negeri ini.
“Kita akan lihat saranan itu, sekaligus melihat serta mengkaji semula keperluan bagi meminda undang-undang berkaitan isu perumahan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Keraian Ulang Tahun Koperasi Malaysia Sarawak Ke-45 di sini pada Sabtu.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bahawa undang-undang sedia ada berkaitan isu perumahan perlu diwujudkan di Sarawak yang bertujuan melarang setiap pemaju perumahan menjual rumah melainakn rumah sudah siap sepenuhnya.