Tempatan

Sarawak terima keputusan BNM tidak luluskan permohonan lesen bank digital

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak meluluskan pemohonan Kerajaan Sarawak untuk memperolehi lesen bank digital.

Katanya, ia tidak menjadi masalah dan Sarawak tidak perlu untuk membuat pemohonan semula.

“Ia tidak menjadi masalah, lagi pun Sarawak sudah mempunyai S Pay Global,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, dan isteri, Ragad Kurdi Taib pada Isnin.

S Pay Global merupakan platform mudah alih teknologi kewangan yang dibangunkan Kerajaan Sarawak.

Pada 29 April lepas, BNM dalam kenyataan berkata hanya lima sahaja pemohonan untuk mendapatkan lesen bank digital diluluskan, tiga daripada konsortium itu adalah Boost Holding Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad, GXS Bank Pte dan Kuol Brothers Sdn Bhd yang diberikan lesen bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Sementara itu, dua lagi konsortium yang layak adalah Aeon Financial Service, Aeon Credit Service Berhad dan MoneyLion Inc serta KAF Investment Bank yang akan diberikan lesen bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Manakala, konsortium Sarawak tidak tersenarai untuk memperolehi lesen bank digital iaiti Revenue Group dan Kenangan Investment Bank Berhad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *