KUCHING: Kerajaan Sarawak kini sedang meneroka peluang penghantaran tenaga elektrik ke Singapura.
Ini sekali gus menjadikan wilayah ini sebagai pusat kuasa tenaga di Asia Tenggara menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, dengan lebihan kapasiti, Sarawak juga mengeksport tenaga elektrik ke Sabah dan negara-negara jiran seperti Kalimantan, Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Selain mengurangkan risiko melalui kepelbagaian portfolio pasaran untuk tenaga kita, Sarawak akan mendapat manfaat untuk meningkatkan hasil pendapatan melalui eksport lebihan kapasiti tersebut,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Julaihi berkata talian penghantaran 275kV dari Mambong, Sarawak ke Bengkayang, Kalimantan Barat telah beroperasi sejak 20 Januari 2016 dengan permintaan purata kuasa 74MW bagi tahun ini sehingga Mac 2022.
Menurutnya lagi, Sarawak juga telah menandatangani Perjanjian Pertukaran Kuasa dengan Sabah pada 6 Ogos 2021 untuk mengeksport kuasa sehingga 50MW kepada Sabah Electricity Sdn Bhd, tertakluk kepada siapnya Sambungan Grid Utara.
“Jumlah purata eksport ini amat kecil iaitu tidak melebihi 2 peratus daripada kapasiti penjanaan keseluruhan manakala tarif pula adalah lebih tinggi daripada tarif tempatan,” katanya.