Nasional

Sarawak tidak kisah berbelanja demi pembangunan, kesejahteraan rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak kisah berbelanja demi untuk menyediakan infrastruktur asas bagi memastikan negeri ini terus pesat membangun.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan penyediaan infrastruktur asas sangat penting untuk mengubah dan meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya mereka di kawasan luar bandar.

Beliau memberi contoh Projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang dilaksanakan kerajaan negeri dengan kos yang besar dalam memastikan kawasan luar bandar dibekalkan dengan bekalan elektrik menggunakan solar.

Katanya, kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar telah mengalami perubahan besar hasil dari pelaksanaan projek berkenaan.

“Semasa lawatan saya ke rumah panjang di Baram, wanita di situ sangat gembira apabila sistem solar dipasangkan. Ini kerana mereka dapat menggunakan peti sejuk buat pertama kalinya dan anak-anak juga gembira kerana dapat membaca dan menulis pada waktu malam.

“Tenaga dan teknologi boleh mengubah kehidupan masyarakat di rumah panjang. Ia memang memakan belanja yang besar. Walaupun ia mahal, Kerajaan Sarawak sanggup mengeluarkan kos untuk memasang sistem solar di rumah panjang,” katanya berucap pada perasmian Persidangan Wanita Dayak Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Jumaat.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak menyasarkan setiap rumah panjang di seluruh kawasan pedalaman di negeri ini bakal menikmati kemudahan bekalan elektrik menjelang tahun 2025.

Tegas beliau, untuk mengubah kehidupan rakyat, mahu tidak mahu kerajaan negeri perlu mengeluarkan belanja untuk menyediakan keprluan asas walaupun kos pelaksanaannya sangat besar.

“Kita tunggu peruntukan dari KL (Kuala Lumpur). Sekali kita minta, sekali datang. Ada tiang, tapi tiada wayar.

“Justeru, kerajaan negeri dengan segera meluluskan peruntukan RM4 bilion bagi melaksanakan projek bekalan elektrik di seluruh kawasan pedalaman Sarawak.

“Kerana itu kita memberi penekanan dan perlu mengeluarkan wang sendiri untuk menyediakan infrastruktur. Kita tidak boleh bergantung dengan orang lain tapi dengan diri sendiri,” katanya lagi.

Dalam hal ini, Datuk Patinggi Abang Zohari berikrar untuk mendapatkan lebih banyak sumber kewangan dari Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk terus memajukan negeri ini.

Persidangan itu dianjurkan Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu, Universiti Putra Malaysia dengan kolaboratif SIDS dan Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) bertemakan ‘Wanita Dayak Melakukan Perubahan’.

Pada majlis yang sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut melancarkan buku bertajuk ‘Dayak Woman and Development’ yang dikarang oleh Jayum. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *