KUCHING: Sarawak tidak akan terkesan atau terjejas dalam usaha berterusan menuntut hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya cadangan supaya Sabah mengusulkan keadah MA63.
Perkara ini ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Katanya lagi, itu adalah hak Sabah.
“Sarawak akan meneruskan perjuangannya dalam mendapatkan semula haknya tanpa mengira cadangan yang dikemukan Sabah.
“Apa yang dibuat Sabah itu saya rasa itu apa yang mereka hendak buat tapi ia tidak akan memberi kesan kepada apa yang kita buat atau apa yang telah kita laksanakan.
“Malah, kita akan terus fokus untuk memperjuangkan hak Sarawak di bawah arahan Premier Sarawak kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2022 di Tebingan Kuching pada Ahad.
Di Sabah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kepada kepimpinan BN Sabah supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikam hak dan tuntutan negeri itu dalam MA63.
Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas mengenai perkembangan terkini perbincangan Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan MA63.
Katanya, Sarawak telah memperoleh beberapa haknya kembali sejak beberapa tahun lalu manakala beberapa permohonan lain masih dalam rundingan.
“Banyak perkara yang telah kita mohon, yang mana ada yang positif dan ada yang masih dalam perundingan.
“Kita tidak dapat melakukannya secara tergesa-gesa dan kita akan memperjuangkan nya sehingga kita mencapai matlamat kita,” jelasnya.