Sukan

Sarawak Tuai Empat Pingat Dalam Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia Dan Sukan Di Perak

KUCHING: Barisan petinju SUKMA Sarawak melaungkan amaran awal kepada pencabar negeri lain susulan kejayaan menggondol dua pingat emas dan dua gangsa dalam Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia Dan Sukan yang melabuhkan tirai di Ipoh, Perak pada Ahad.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 21 hingga 27 Mac di Dewan Masjid An Nur, Persatuan Tinju negeri Sarawak (SABA) mempertaruhkan seramai empat petinju dengan kesemuanya berjaya menghadiahkan kilauan pingat.

Mencuri tumpuan pastinya kejayaan Daeloniel Mcdelon Bong dan Jackson Chambai Ikeh yang berjaya merangkul pingat emas.

Daeloniel memenangi emas dalam kategori Elit 60kg selepas menewaskan pencabar Tentera Darat Malaysia, Terence Rony Andong.

Kemenangan itu turut menobatkan Daeloniel sebagai Petinju Terbaik kejohanan itu.

Manakala Jackson menumpaskan lawan tuan rumah, Mohd Fareezad Mohd Tamisi dalam kategori Sukma 54kg.

Sementara itu, Mohd Helmi Cheng Mohd Firdaus Cheng dan Hellarry Hendry berpuas hati dengan mengutip gangsa selepas tewas dalam kategori Elit 67kg dan Elit 92kg.

Ketika dihubungi, Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo amat berpuas hati dengan kejayaan petinju Sukma Sarawak dalam kejohanan itu mengambil kira pihaknya hanya menghantar skuad kecil berbanding negeri-negeri lain.

“Sarawak hanya dapat menghantar empat petinju kerana dua lagi petinju kita dijangkiti Covid-19. Ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang menghantar dalam 8 hingga 9 atlet.

“Namun keempat-empat mereka berjaya membawa pulang pingat termasuk dua pingat emas. Ia satu keputusan yang cukup membanggakan.

“Kejayaan ini hasil usaha gigih para petinju semasa latihan serta komitmen barisan jurulatih kita,” menurutnya.

Dato Rahman (belakang, tiga kanan) bersama barisan petinju dan jurulatih Sarawak semasa kejohanan berlangsung.

Susulan itu katanya, SABA merancang untuk menghantar dua petinjunya menjalani latihan bersama skuad kebangsaan yang akan menghadapi kempen Sukan SEA di Hanoi.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan terhadap semua Ahli Jawatankuasa (AJK) SABA, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) atas komitmen dan dokongan terhadap program pembangunan persatuan itu.

“Fokus kita selepas ini adalah untuk menghadapi dua kejohanan di Perak iaitu Kejohanan Golden Glove pada Mei depan dan Piala Presiden yang akan diadakan sebelum temasya SUKMA bermula,” katanya lagi.

Kontinjen tinju Sarawak mendapat bimbingan Muhammad Herman Morni, Wilbur Andogan dan lagenda tinju negara, Sapok Biki. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *