Tempatan

Sarawak tubuh dana berdaulat setelah kajian selesai – Premier Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan keputusan untuk mewujudkan dana berdaulat sendiri setelah kajian mengenainya dibuat, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Beliau berkata, dana berdaulat adalah penting dalam usaha negeri itu untuk menguruskan pendapatan dengan lebih baik, demi masa hadapan Sarawak.

“Apabila ekonomi berkembang, pendapatan berkembang, dana ini akan memberikan pendapatan yang baik kepada negeri kita. Sekarang kajian masih dibuat, selepas kajian dibuat mudah-mudahan, kita dapat buat seperti Norway.

“Pengurusan yang cermat, telus dalam menguruskan harta, aset dan membangun untuk masa hadapan,” katanya pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Abang Johari juga kagum dengan kejayaan Norway menguruskan dana kekayaan berdaulat negara itu, yang diiktiraf secara meluas serta diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996.

“Pada awal, dana daulat Norway tidak besar, hanya dua bilion korona sahaja, namun sekarang dilaporkan mempunyai nilai keseluruhan AS$1.34 trilion. Jadi, kita di Sarawak kalau dijaga dengan baik, insya-Allah akan seperti Norway,” katanya.

Sarawak telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Norway, dalam usaha ke arah memastikan kejayaan pembentukan dan pengurusan dana kekayaan berdaulat sendiri semasa Abang Johari mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara itu pada Isnin lalu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *