KUCHING: Sarawak kini dalam usaha menubuhkan makmal penyelidikan lumut yang akan dijadikan sebagai bahan api bio penerbangan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lumut yang ada di negeri ini boleh mengeluarkan minyak iaitu bahan api bio yang sesuai untuk Bahan Bakar Penerbangan Mampan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF).
“Pertamanya, kita akan menubuhkan makmal kajian terlebih dahulu dan saya sekarang mahu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bekerjasama dengan Petronas untuk mengkaji perkara ini.
“Apabila ia telah mendapat kelulusan maka kita akan mengenal pasti lumut yang ada di sepanjang kawasan pesisir negeri ini. Kita mempunyai cuaca sesuai yang boleh mengeluarkan lumut dalam kuantiti banyak.
“Kalau ia mampu mengeluarkan secara tan, ia mampu mengeluarkan minyak (bio) yang banyak dan perkara seperti ini akan kita jalankan kajian terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Mengenai Transformasi Industri Digital 2022 anjuran Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini, pada Selasa.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, dari segi sumber pengeluaran lumut, Sarawak mempunyai sumber yang banyak dan boleh mengeluarkan bahan api bio yang digunakan sebagai SAF.
Bagaimanapun, apa yang perlu kini adalah dari segi kreativiti dan proses yang digunakan bagi membolehkan pengeluaran dapat dihasilkan secara mampan nanti.
“Saya telah menaja penyelidikan dan apabila semuanya ada, kita akan mengeluarkan SAF untuk penerbangan. SAF adalah usaha kita untuk meneruskan Agenda Tenaga Hijau negeri ini.
“Penyelidikan mengenai bahan api bio berasaskan lumut ini mungkin memakan masa dua hingga tiga tahun dan jika ia betul kita mampu mengeluarkan secara besar-besar khasnya menjelang tahun 2030,” katanya.