Tempatan

Sarawak tuntut formula tepat dari kerajaan pusat dalam pengagihan hasil

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak menuntut formula yang tepat digunakan dalam pengagihan hasil kepada negeri ini seperti yang termaktub dalam Peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan Kerajaan Sarawak masih belum mendapat formula yang tepat dari kerajaan persekutuan berhubung pengagihan hasil kepada negeri ini.

“Kita mahu formula yang betul tentang bagaimana jumlah itu diperolehi.

“Selagi formula ini tidak diselesaikan, kita tidak mahu menerimanya sebarangan,” katanya berucap semasa Majlis Sungkei Dengan Premier Abang Jo 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam hal ini, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha menuntut haknya melalui perjanjian yang ada termasuklah Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta peruntukan-peruntukan yang ada.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, apa yang diperjuangkan Kerajaan Sarawak adalah demi masa depan anak-anak negeri ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata Kerajaan Sarawak sentiasa komited membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dan bencana lain termasuk pelajar dan mereka yang menetap di Semenanjung Malaysia.

 

Jelas beliau, setakat ini seramai 38,106 orang termasuk 21,214 pelajar yang berada di Semenanjung Malaysia telah dibantu.

Katanya, berdasarkan rekod terkini dari Disember 2021 hingga April 2022, Kerajaan Sarawak telah menyuntik peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu rakyat Sarawak di Semenanjung.

“Dalam masa pandemik, Kerajaan Sarawak telah menghulurkan bantuan yang bernilai kira-kira RM5.8 bilion untuk membantu rakyat yang menghadapi pandemik ini melalui BKSS 1.0 hingga 8.0.

“Ini adalah satu-satunya di mana kerajaan kita prihatin dengan rakyat Sarawak khasnya yang merantau di luar Sarawak ini disebabkan penyebaran Covid-19 dan juga virus Omicron,” tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak menjelaskan pendekatan Kerajaan Sarawak dengan memfokuskan kepada teknologi dan kelestarian alam sekitar sebagai sumber ekonomi baharunya menarik perhatian negara luar.

Katanya, beliau menerima jemputan dari Kerajaan Singapura untuk membentangkan mengenai perancangan ekonomi baharu yang sedang Sarawak laksanakan.

“Insyaallah, minggu depan saya dijemput oleh pihak Singapura dan Temasek Group untuk membentangkan satu paper mengenai ekonomi baharu yang dilaksanakan oleh Negeri Sarawak.

“Kita akan memaklumkan kepada mereka penekanan kita terhadap ekonomi baharu menggunakan teknologi dan juga ekonomi yang berasaskan kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.

Menjelas lanjut, Kerajaan Sarawak katanya kini beralih kepada ekonomi berasaskan hidrogen dalam mencapai visi muncul negeri maju menjelang tahun 2030. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *