KUCHING: Hasrat Sarawak United FC (SUFC) untuk merangkul mata di laman sendiri tidak kesampaian selepas tewas 0-1 dalam aksi pembukaan Liga Super 2022 menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Jumaat.
Gol pelawat dijaringkan oleh penyerang import, Wanja Ronald Ngah pada minit ke-16 berpunca dari situasi kelam kabut di hadapan gawang SUFC.
SUFC berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-36 namun percubaan Francis Kone gagal menerjah gawang ketika pintu gol lawan sudah terbuka.
Tuan rumah menggandakan asakan demi asakan sebaik babak kedua bermula dalam usaha mencari gol penyamaan.
Barisan pertahanan dan penjaga gol SUFC, Mohd Sharbinee Allawee juga dipaksa bekerja keras dalam menghalang deretan serangan pemain-pemain Kedah.
Peluang terbaik SUFC hadir pada minit ke-85 namun pemain sayap, Abdul Rahim Abdul Razak gagal melepasi penjaga gol Kedah, Mohd Shahril Saari.
Percubaan seorang lagi pemain import SUFC, Boris Kok pada masa kecederaan juga sekadar menggegar palang gol pelawat.
Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan.
SUFC akan meneruskan kempen menentang juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim pada 9 Mac ini. – SN