KUCHING: Satu lagi air terjun ditemui jauh di dalam hutan Bung Bratak yang terletak di Kampung Tembawang Sauh, Bau selepas pencarian yang panjang dan sukar oleh pasukan Pusat Warisan Bung Bratak.
Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak, Dato Peter Minos yang dipetik dalam laporan Utusan Borneo berkata air terjun ini bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung di Bung Bratak ini.
“Dikelilingi hutan dara, air terjun Bung Bratak terletak di lokasi yang unik. Di sekelilingnya adalah lagu dan muzik daripada burung hutan dan serangga,” katanya ketika kunjungan ke Bung Bratak baru-baru ini.
Ujar Peter Minos lagi, dengan pembukaan sempadan dan memasuki peralihan ke fasa endemik, beliau menjangkakan kedatangan ramai pelawat ke Bung Bratak.
Katanya, ada yang melakukan kunjungan hari dan tidak kurang yang berkhemah bersama keluarga di Bung Bratak yang turut mempunyai kemudahan penginapan rumah panjang.
“Kita berterima kasih kepada Jabatan Hutan Sarawak kerana membina laluan konkrit ke air terjun selain turut menyediakan laluan ke puncak Bung Bratak,” jelasnya.
Bung Bratak merupakan lokasi popular bagi para pendaki tempatan dan luar terutama pada hujung minggu dan hari cuti.
Penempatan bersejarah bagi masyarakat Bidayuh ini juga sesuai untuk mereka yang meminati alam semula jadi dan hilangkan tekanan dari kesibukan kerja dan kota. – SN