Tempatan

SEB disaran beri peluang kepada vendor tempatan terlibat projek mega

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) harus bersedia memberi peluang kepada vendor tempatan untuk mengambil bahagian dalam projek mega syarikat jika mereka menunjukkan prestasi cemerlang dan berkualiti perkhidmatannya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SEB mempunyai data mereka dan jika vendor dapat memberikan perkhidmatan yang baik berdasarkan data dan pengalaman kepada SEB, vendor boleh menjalin kerjasama dengan SEB di mana sahaja.

“Sebagai contoh, Petronas (syarikat minyak dan gas negara), mereka berkembang dengan vendor mereka sendiri dan SEB boleh melakukan perkara yang sama.

“SEB mempunyai keyakinan terhadap vendor mereka sekali gus boleh berkembang besar bersama vendor mereka juga,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2021 di Kuching malam Rabu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, bagi vendor tempatan pula mereka sebaliknya juga boleh mewujudkan usaha sama dengan negara seperti Indonesia dengan syarat SEB menjadi rakan kongsi ekuiti dalam projek mereka di luar Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu vendor tempatan sebaliknya juga boleh mewujudkan usaha sama dengan negara seperti Indonesia dengan syarat SEB dijadikan rakan kongsi ekuiti dalam projek di luar Sarawak juga.

Katanya apa yang diperlukan vendor SEB untuk terus berkembang besar ialah konsistensi dan rajin dalam menguruskan perniagaan mereka.

“Sarawak berhasrat untuk terus mencapai pertumbuhan dan kemakmuran yang lebih mampan melalui tenaga mampu milik, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui dan kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan menggalakkan kerjasama awam-swasta dalam rantaian nilai tenaga boleh diperbaharui.

“Ini akan memastikan peluang yang luas untuk vendor dan kontraktor tempatan kami untuk terlibat dengan industri tenaga,” katanya.

Menurut beliau, dengan perubahan landskap yang semakin menekankan kemampanan dan pendigitalan, sektor tenaga boleh diperbaharui terus memainkan peranan penting dalam menyokong industri lain.

Justeru jelasnya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19, sektor tenaga boleh diperbaharui ditugaskan untuk melengkapkan usaha kerajaan negeri termasuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

Beliau juga menggesa perniagaan tempatan supaya berusaha lebih gigih untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran penting terutamanya berkaitan ekonomi digital dan kemampanan abad ke-21. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *