KUCHING: Ahli politik Sarawak memberi sokongan kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyelar cadangan tindakan punitif harus diambil terhadap penjawat awam kerana menggunakan bahasa Inggeris.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil (gambar) berkata, bahasa Inggeris boleh dan harus terus digunakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, prosiding mahkamah dan juga untuk berkomunikasi dalam perkhidmatan awam.
“Ini jelas termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menetapkan Sarawak berhak menentukan sistem pendidikannya sendiri. Kita hidup dalam era moden yang majoritinya menggunakan bahasa Inggeris,” kata ADUN Marudi itu kepada The Borneo Post hari ini.
Tiga hari lalu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan dipetik sebagai berkata, dasar kerajaan persekutuan yang mengambil tindakan terhadap penjawat awam kerana menggunakan bahasa Inggeris adalah ‘mengarut dan bodoh.’
Sebaliknya, Abdul Karim berpendapat, penjawat awam harus digalakkan untuk menguasai atau menggunakan bahasa itu untuk menambah baik dinamisme.
Dalam pada itu, Penguang menegaskan kebanyakan negara maju dan membangun kini menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris.
“Justeru, tindakan menghukum penjawat awam yang menggunakan atau berbahasa Inggeris adalah langkah mundur ke belakang, malah mungkin akan mengasingkan diri kita dari seluruh dunia.
“Harus diingat bahawa Malaysia bukanlah salah satu kuasa besar seperti China, Rusia atau India. Biarlah kita lebih liberal dan sederhana dalam apa jua dasar yang kita rumuskan dan jangan terlalu ketat.
“Tambahan pula, dengan bertutur dalam bahasa Inggeris tidak bermakna kita tidak cintakan negara kita. Kita juga harus ingat bahawa Sarawak mempunyai autonomi dan perlembagaannya sendiri. Kita juga mempunyai pelbagai perlindungan yang diletakkan dalam Perlembagaan serta MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Selain itu, sebatang keputusan unilateral seperti menghukum penggunaan bahasa Inggeris dalam perkhidmatan awam khususnya di Sarawak bukan sahaja tidak produktif, malah ia juga bercanggah dengan perundangan dan institusi sedia ada yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia. Ini juga mungkin akan menjejaskan keharmonian kita sekarang,” kata Penguang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan ll Sarawak, Dato Henry Harry Jinep (gambar) berkata, Sarawak harus mengekalkan kedua-dua bahasa atau mengekalkan sama ada bahasa Melayu dan Inggeris sebagai alat komunikasi rasmi.
“Walau apapun, jika kerajaan persekutuan telah mempertimbangkan pilihan mereka untuk menggunakan bahasa Melayu secara meluas dalam urusan seharian mereka, itu adalah urusan mereka.
“Bagi Sarawak, kita mengekalkan kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan kita tidak perlu peraturan seperti itu (di peringkat persekutuan) untuk dilaksanakan di Sarawak,” kata Henry yang juga ADUN Tasik Biru.
“Untuk fasih dalam bahasa antarabangsa lain selain Bahasa Kebangsaan kita sendiri adalah satu kelebihan kepada semua orang terutamanya mereka yang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Tambah Henry, dengan mengehadkan penggunaan bahasa Inggeris, ia boleh membawa kepada komunikasi yang tidak berkesan atau sebaliknya tidak cekap, katanya.
ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap (gambar) turut bersetuju dengan pendirian Abdul Karim.
Umum mengetahui bahawa keupayaan berbahasa Inggeris adalah faktor utama untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik, selain memberikan kelebihan besar dari segi memperoleh pengetahuan dan komunikasi dalam dunia perniagaan antarabangsa, kata Yap.
Oleh itu, Yap berpendapat adalah wajar bagi kerajaan untuk menggalakkan penggunaan dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa sama, tidak mengabaikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.
Yap yang juga seorang peguam berkata, kerajaan harus lebih progresif dalam membuat keputusan dasar dan pandangan terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara komunikasi yang selari dengan bahasa Malaysia.
Dasar sebegini ujarnya, sudah pasti lebih baik untuk kemajuan dan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang cuba keluar daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi. -UTUSAN BORNEO