PALU: Seekor buaya Indonesia yang berenang dengan tayar motosikal tersangkut di lehernya selama enam tahun, akhirnya dibebaskan oleh seorang pencinta haiwan di Pulau Sulawesi.
Keadaan buaya sepanjang kira-kira 5.2 meter itu menimbulkan simpati dalam kalangan beberapa penduduk di bandar Palu, yang bimbang tayar itu akhirnya akan menjerut reptilia terbabit apabila ia membesar.
Namun, ia terbukti sangat sukar untuk ditangkap, malah ada suatu ketika seorang penangkap buaya Australia cuba membebaskan reptilia itu tetapi tidak berjaya.
Bagaimanapun, seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Tili berjaya membantu buaya itu dengan memasang perangkap tali yang diikat pada kayu balak, berumpankan ayam dan itik hidup.
“Saya menangkap buaya itu sendiri. Pada mulanya, saya meminta bantuan daripada penduduk di sini tetapi mereka takut,” katanya.
Menurut Tili, selepas menjejaki reptilia itu selama tiga minggu, buaya cerdik itu berjaya melarikan diri daripada perangkap sebanyak dua kali sebelum akhirnya berjaya ditangkap.
“Ramai orang pada mulanya ragu dengan keupayaan saya selain menyangka saya tidak serius untuk menangkap buaya itu,” katanya sambil bergambar di hadapan reptilia yang ditambat selepas tayar menjerut lehernya dipotong menggunakan gergaji.
Pada 2020, pihak berkuasa di wilayah itu menawarkan ganjaran bagi sesiapa yang boleh menanggalkan tayar itu, namun ia bukannya matlamat sebenar mengapa Tili membantu reptilia terbabit.
“Saya hanya tidak boleh melihat haiwan dalam keadaan sakit. Walaupun ular, saya akan membantu,” katanya yang belajar sendiri ilmu mengenai hidupan liar.
Reptilia itu, yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘buaya kalung ban’ (buaya berkalung tayar), dilepaskan semula ke dalam sungai pada petang semalam. -REUTERS