KUCHING: Semangat perjuangan Rosli Dhobi bersama Rukun 13 yang tidak menyerah kalah, berani atas kebenaran dan menjunjung maruah agama dan bangsa harus diteladani oleh generasi muda hari ini.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRADE) Sarawak yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, semangat perjuangan itu wajar diwarisi oleh generasi muda hari ini dalam mempertahankan hak rakyat Sarawak.
“Perjuangan itu hendaklah diteruskan sejajar dengan cabaran yang dilalui oleh masyarakat Melayu Sarawak dewasa ini,” katanya semasa berucap mewakili Pengerusi AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan SAMAceramah 2022 Syarahan Rosli Dhoby dan Rukun 13 Sempena Haul Ke-72 di Wisma Sumber Alam pada Rabu.
Acara tersebut dianjurkan AKYBMS dan Perbadanan Kemajuan Kayu Sarawak (PUSAKA) bagi mengupas peristiwa dan liku-liku perjuangan seorang pejuang bersejarah Sarawak bernama Rosli Dhoby serta Rukun 13.
Menurut Datuk Naroden lagi, semangat perjuangan Rosly Dhoby dan Rukun 13 yang mempertahankan nusa dan bangsa daripada belenggu kuasa asing telah menjadi asas kukuh yang menggerakkan segenap tekad kekuatan jasad intelektual rohaniah dan kesiagaan untuk berkorban atas nama kemerdekaan ummah seperti tuntutan syariat.
Justeru, sudah tiba masa mereka perlu menggerakkan segala kekuatan sumber intelektual, sumber profesional, sumber tenaga mahir dan sumber bakat kepimpinan anak-anak supaya dapat menetapkan hala-tuju serta masa depan bangsa pada jajaran yang tepat.
“Begitu juga beberapa perkara berkaitan dengan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih lagi menjadi keutamaan kepada perjuangan pimpinan negeri dalam mencorak arah dan masa depan negeri dan masa depan generasi muda pada masa akan datang.
“Asas perjuangan Rosly Dhoby bersama Rukun 13 boleh dijadikan sebagai contoh keberanian kepada anak-anak muda dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak,” katanya.