Nasional

Sempadan negara dibuka sepenuhnya pada 1 April ini – PM

KUALA LUMPUR: Setelah lebih dua tahun pintu sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan COVID-19, kerajaan akhirnya mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula sepenuhnya pada 1 April depan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya di Parlimen pada Selasa, pembukaan sempadan ini adalah selaras dengan pengumuman peralihan negara ke fasa endemik bermula bulan depan.

“Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu pertama, ia berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan ketiga, memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka,” katanya.

Ujar beliau lagi, apa yang paling penting ialah Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

Perdana Menteri menambah, dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa, serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

“Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” katanya.

Bagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Dengan pembukaan sempadan, katanya pengembara yang lengkap vaksinasi COVID-19 tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas, serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijadualkan memperincikan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi khususnya kepada mereka yang belum menerima vaksin pada Rabu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *