Tempatan

Semua inisiatif di bawah KPWKKK dikaji semula bagi tujuan penambahbaikan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti telah mengkaji semula semua inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah kementerian itu bagi tujuan penambahbaikan. 

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kajian semula ini telah dibuat pada bengkel dua hari yang diadakan pada 17 dan 18 Mac lepas melibatkan 22 agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan. 

“Terdapat 10 inisiatif yang telah diperkenalkan Kerajaan Sarawak menerusi kementerian iaitu Bantuan Ibu Bersalin, Pembiayaan Caruman Minimum i-Suri, Endowment Fund Sarawak, Geran Tahunan Khas, Kenyalang Gold Card, Bantuan Ikhsan Kematian, Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Bantuan Perubatan, Geran Sukan OKU dan Geran Pemerksaan NGO. 

“Kita telah mengkaji semula semua inisiatif ini dan mendapatkan input berhubung cadangan penambahbaikan yang boleh dan perlu dibuat untuk memastikan manfaat inisiatif ini sampai kepada kumpulan sasaran.

“Indeks Pencapaian Utama (KPI) kita, penerima bantuan bagi semua inisiatif ini mesti mencapai 90 peratus ke atas selepas negara memasuki peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kajian semula polisi inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah kementerian di Tingkat 8, Bangunan Baitulmakmur 2, Kuching pada Isnin.

Tambah Dato Sri Fatimah, inisiatif yang dilaksanakan ini berdepan cabaran semasa pandemik COVID-19 dengan mengambil contoh pemohon Endowment Fund Sarawak (EFS) tidak dapat mendaftar kelahiran segera berikutan sekatan pergerakan. 

Masalah yang sama turut dihadapi melibatkan inisiatif lain namun ia tetap diteruskan Kerajaan Sarawak.    

Setakat 28 Februari 2022, jumlah permohonan bagi EFS adalah sebanyak 5,584 atau 72 peratus permohonan manakala permohonan bagi Bantuan Ibu Bersalin (BIB) adalah sebanyak 3,490 atau 89 peratus bagi tempoh sama. 

Bagi Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP, sejumlah RM18.5 juta diperuntukkan untuk tempoh 5 tahun. 

Mengenai Kenyalang Gold Card (KGC), jumlah permohonan bagi tahun 2020 hingga 28 Februari lalu adalah 267,172 dan jumlah kad yang telah diagih adalah sebanyak 202,768. 

“Untuk Geran Tahunan Khas, dari segi sewa dan gaji guru tidak lagi dimasukkan dalam senarai sebab kita telah masuk ke peralihan endemik. 

“Ini antara perkara yang kita lihat semula dalam usaha memastikan hasrat kerajaan memberi bantuan kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak berdaftar,” katanya. 

Turut hadir pada sidang media tersebut Timbalan Menteri Wanita dan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Mohamad Razi Sitam. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *