MIRI: Seorang anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kirinya dalam pikap yang dipandunga di Jalan Riam, Miri pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari, pihaknya telah menerima maklumat kejadian sekitar jam 8.30 malam dengan laporan berkaitan sebuah pikap terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.
“Sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah bergegas ke lokasi kejadian dan hasil siasatan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan mempunyai kesan tembakan.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada mangsa ditembak atau sebaliknya.
Kata Hakemal lagi, individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Mohd Firdaus Hanafiah Zulkifley di talian 085-433730.
Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih di media sosial atau membuat sebarang spekulasi liar berkenaan kes ini.