KUALA LUMPUR: Simpanan asas RM240,000 yang mewakili anggaran RM1,000 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas usia bersara adalah tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata jumlah RM240,000 bukan satu angka yang ‘respectable’ yang boleh menjadikan kehidupan selesa selepas bersara.
Katanya, jika dibahagikan RM240,000 kepada 20 tahun, pesara hanya dapat berbelanja kira-kira RM1,000 sebulan.
“Jumlah ini tidak mencukupi kerana perbelanjaan makanan bagi penduduk di Malaysia antara RM800 sehingga RM1,200 sebulan. Jadi, jumlah yang diperuntukkan iaitu RM1,000 hanya cukup untuk membeli makanan. Bagaimana dengan kos tempat kediaman, utiliti, pakaian dan sebagainya?
“Dalam hal ini, RM1,000 adalah sangat tidak mencukupi. Ini sebenarnya lebih rendah daripada gaji minimum iaitu RM1,500. Sekurang-kurangnya satu keluarga memerlukan dalam RM3,500 sebulan,” katanya kepada BH.
Sebelum ini BH melaporkan rakyat Malaysia perlu memiliki simpanan asas RM240,000 sebagai paras sasaran apabila mencapai usia bersara 55 tahun.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata jumlah itu mewakili anggaran RM1,000 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas usia bersara yang dianggap mencukupi untuk rakyat negara ini bersara dengan bermaruah.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, sebenarnya RM240,000 adalah sasaran yang ditentukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Berdasarkan jumlah itu, katanya, hanya kurang daripada 15 peratus pencarum yang akan mempunyai baki itu apabila mereka bersara nanti.
“Jadi, ini bermakna ia bukan sesuatu yang boleh dicapai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemungkinan golongan pesara terpaksa bekerja selepas bersara untuk menambah dan mendapatkan sumber kewangan yang cukup untuk kelangsungan hidup.
“Hari ini ramai yang sudah bersara terutamanya bekas tentera yang terpaksa bekerja menjadi pemandu teksi, pemandu grab dan lain-lain lagi,” katanya.-BERITA HARIAN