Nasional

Skim khas SME Corp bantu usahawan Sabah, Sawarak dilancar Mei ini

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan skim khas usahawan SME Corp 6 Mei ini bagi membantu usahawan di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, skim khas ini merupakan pendekatan kementerian selepas mengadakan libat urus dengan usahawan, koperasi dan pemegang taruh yang sememangnya ada keperluan untuk diperkenalkan skim terbabit kepada usahawan di dua negeri berkenaan.

Menurutnya, usahawan di Sabah dan Sarawak berhadapan dengan cabaran yang berbeza dengan di Semenanjung seperti logistik dan hebahan maklumat.

Katanya, selain itu mereka juga berhadapan infrastruktur dan capaian internet yang semuanya memerlukan bantuan khas supaya tidak lagi timbul persepsi keluhan mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak memberi bantuan dan perkhidmatan yang sewajarnya kepada mereka.

“Bagi skim khas SME Corp ini jumlah bantuan akan diumumkan selepas ia dilancarkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa kementeriannya di Dewan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK), Presint 14 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, K Saraswaty dan Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Zamri Salleh.

Pada majlis sama Ewon turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 anak yatim, asnaf dan guru dari Pertubuhan Warisan Suci.

Ewon berkata, skim khas SME Corp ini adalah bantuan kedua selepas

RM5 juta diperuntukkan kepada usahawan pasar tamu di Sabah dan Sarawak melalui Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) menerusi Tekun Nasional yang dilancarkan 18 Mac lalu.

Menurutnya, pembiayaan mikro sehingga RM5,000 bagi setiap usahawan itu disediakan untuk kira-kira 1,000 orang usahawan informal dan mikro yang akan mendapat manfaat daripada skim itu.

Katanya, Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam turut membincangkan program dan inisiatif pembangunan usahawan dan PMKS di Sabah dan Sarawak yang turut dihadiri wakil kedua-dua negeri berkenaan selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

“Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah perancangan pelaksanaan program-program keusahawanan PMKS yang akan dilaksanakan KUSKOP bagi tahun 2023,” katanya.

Ewon menambah, mesyuarat juga mengambil perhatian bahawa jumlah peruntukan yang disalurkan kepada KUSKOP hanya 1.84 peratus daripada peruntukan sebanyak RM40 bilion yang disediakan untuk PMKS di bawah Belanjawan 2023.

Jelasnya, oleh itu, Kementerian Ekonomi telah diminta untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi meningkatkan lagi pelaksanaan program keusahawanan KUSKOP.-BERITA HARIAN

Exit mobile version