Nasional

Skop dasar RUU Sumbangan Politik akan dibentang pada mesyuarat Kabinet – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Rang Undang-undang Sumbangan Politik secara dasarnya telah dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah yang dipengerusikannya hari ini.

Menurutnya rang undang-undang itu penting kerana sehingga kini masih tiada undang-undang atau peraturan dalam negara yang mengawal selia pembiayaan politik.

“Ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata cadangan pelaksanaan rang undang-undang itu akan dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet terlebih dahulu sebelum sesi libat urus dengan parti politik diadakan.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dijadikan agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak dan melihat usaha itu amat penting dan perlu disegerakan bagi membanteras jenayah kewangan serta mengekang ketirisan hasil kerajaan.

Ke arah melaksanakan usaha itu, katanya sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda.

“Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus yang baik dikenali sebagai Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan akan diperkenalkan.

Beliau berkata pelan itu bertujuan meningkat dan memperkukuhkan keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun.

Pelan itu menurutnya adalah berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan.

“Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini. Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

“Mesyuarat bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata mesyuarat turut bersetuju supaya kajian lebih mendalam dilakukan berkenaan pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara kerana ia melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.

Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini, katanya. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *