KUCHING: Skuad kebangsaan dinobatkan selaku juara keseluruhan Kejohanan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 selepas meraih 11 pingat emas, dua perak dan dua gangsa di temasya yang berlangsung selama enam hari di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, semalam.
Ia sekali gus meninggalkan skuad tuan rumah di tangga kedua yang meraih sebanyak sembilan pingat emas, sembilan perak dan sembilan pingat gangsa.
Manakala, Singapura membuat kejutan apabila mengakhiri saingan di kedudukan ketiga dengan pencapaian lapan emas, 10 perak dan lima pingat gangsa.
Pasukan kebangsaan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD20,000, diikuti Sarawak menerima USD4,000 dan Singapura menerima USD2,000.
Aksi final yang berlangsung pada Ahad menyaksikan seramai sembilan wakil kebangsaan beraksi pada kategori masing-masing.
Menurut jurulatih skuad negara Siti Rahmah Nasir, pencapaian para pesilat pada SPISC ini menepati apa yang telah mereka sasarkan.
“Mereka telah mempamerkan kesungguhan dan SPISC ini merupakan medan terbaik buat kami melakukan persiapan menjelang Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti.
“Kesemua pesilat yang beraksi pada SPISC merupakan kontinjen yang akan mewakili negara di Sukan SEA nanti dan secara keseluruhannya, mereka sudah siap baik dari segi mental dan fizikal,” jelas Siti Rahmah yang juga bekas juara dunia.
Edisi sulung kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang bermula sejak 27 Februari lalu ditutup secara rasmi oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Dr Ripin Lamat yang turut dihadiri Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak, Datuk Mohd Yusnar Matalie.
Kejuaraan yang menghimpunkan lebih 500 pesilat dari seluruh negara termasuk Amerika Syarikat, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Belanda, Filipina, Indonesia, Thailand dan juga Singapura.-SUARA SARAWAK