Nasional

Sorok kes buli di sekolah, KPM tidak akan berkrompomi

BACHOK: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana sekolah yang cuba menyorok kejadian buli yang berlaku dalam kalangan murid atau pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihak sekolah tidak boleh menyembunyikan kes buli yang berlaku, sebaliknya perlu bersikap telus.

Katanya, dalam kes yang berlaku, pihaknya mengambil perhatian yang serius dan tidak akan memaafkan pihak yang cuba menyembunyikan kes.

“Kalau ada sekolah yang cuba sorokkan (kes buli), kita tidak akan bertoleransi. Begitu juga yang cuba tutup kes, kita tidak akan berkompromi dan kita perlu telus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut Radzi berkata, dalam konteks kes buli itu yang lebih penting adalah hati dan jiwa anak.

“Bagaimana kita hendak lahirkan anak yang ada empati atau sifat kasihan kepada rakan mereka. Mereka ini masih muda dan perlu terapkan dalam diri anak-anak dengan sifat ini.

“Mungkin interaksi anak kita terhad, jadi bila pergi sekolah mereka akan lebih banyak berinteraksi dan bergaul. Hendak menyelesaikan masalah masyarakat memerlukan kerjasama daripada masyarakat,” katanya.

Media semalam melaporkan, polis menerima tiga laporan mengenai pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Nilai yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.-BHARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *