KUCHING: Acara sukan lasak yang paling dinantikan, Spartan Race bakal membuat kemunculan semula di Sarawak pada 10 hingga 11 Jun 2022 bertempat di Institut Kepimpinan Sarawak, Jalan Semengoh.
Diperakui sebagai sukan lasak paling sukar di Asia Tenggara pada 2019, Spartan Race merupakan perlumbaan berhalangan dan menguji ketahanan yang telah dianjurkan sebanyak 250 kali di 40 buah negara.
Ia telah menarik penyertaan lebih sejuta peserta setiap tahun dari pelbagai peringkat dan latar belakang kecergasan baik dari mereka yang baru hingga ke elit.
Spartan Race Sarawak diangkat sebagai perlumbaan Spartan paling sukar di Asia Tenggara oleh peserta-peserta Spartan.
Edisi tahun ini akan mengekalkan dua acara popularnya iaitu 5km pecut dan 10km super di mana para peserta akan mengharungi halangan yang meletihkan di mana hanya yang terbaik akan muncul juara.
Perlumbaan itu asalnya dijadual berlangsung pada Jun 2020 namun terpaksa ditunda ke 2022 akibat penularan pandemik Covid-19.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam kenyataanya baru-baru ini berkata beliau yakin acara itu akan menarik penyertaan ramai peserta dari pelbagai negara yang akan membantu menghidupkan semula industri pelancongan Sarawak.
Ujarnya, dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) memaklumkan pembukaan sempadan negara pada Mac 2022, perlumbaan itu dijangka menarik penyertaan sehingga 2,500 peserta namun dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Selain membawa pulang pingat dan baju T, pemenang perlumbaan itu juga layak bergelar pahlawan Spartan, gelaran yang paling diburu oleh para peserta acara lasak itu.
Mereka yang telah mendaftar untuk Spartan Race Sarawak 2020 layak untuk memindah dan menangguhkan tiket mereka untuk perlumbaan tahun ini di mana mereka akan dimaklumkan melalui emel sehari sebelum pendaftaran dibuka.
Pendaftaran kini dibuka dengan melayari https://www.spartanrace.my.
Kemas kini mengenai perlumbaan turut dimaklumkan di laman Facebook dan Instagram Spartan Race Malaysia. – SN