Sukan

Sri Aman tuan rumah Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022

SRI AMAN: Setelah hampir dua tahun menyepi, arena sukan tinju di Sarawak kembali menggegar dengan penganjuran Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka Tahun 2022.

Temasya berprestij julung kali dianjurkan oleh Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) itu akan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman dari 1 hingga 7 Ogos depan dengan menyaksikan penglibatan petinju-petinju ternama dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam dan Kalimantan.

“Alhamdullillah, setelah hampir dua tahun tanpa sebarang aktiviti, arena tinju kita kembali aktif pada tahun ini di mana SABA akan menganjurkan Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka Tahun 2022.

“Ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama anjuran SABA yang bakal menyaksikan beberapa bintang ternama dari Semenanjung Malaysia, Brunei Darusalam dan Kalimantan mengambil bahagian.

“Kali terakhir SABA menganjurkan kejohanan berprestij adalah Golden Glove pada 2018 di Sibu dan ia mendapat sambutan begitu menggalakkan.

“Saya percaya kejohanan ini juga pasti mendapat sambutan menggalakkkan kerana peminat tidak sabar untuk kembali beraksi dalam gelanggang,” jelas Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo dalam sidang media selepas mesyuarat bersama AJK kejohanan di Sri Aman pada Khamis.

Menurutnya, kejohanan itu akan menjadi medan pendedahan terbaik kepada petinju-petinju SUKMA Sarawak membuat persiapan menghadapi temasya dwitahunan yang dijadual berlangsung pada September depan.

Sekaligus, ia katanya akan menjadi kayu pengukur keupayaan petinju Sarawak pada temasya SUKMA kelak.

Dalam masa sama, kejohanan itu katanya akan merancakkan semula sektor pelancongan sukan Negeri Sarawak yang terjejas teruk sebelum ini akibat penularan wabak Covid-19.

“Penganjuran kejohanan ini antara inisiatif SABA dalam turut sama membantu merancakkan semula sektor pelancongan kita.

“Ini kerana ramai petinju dari luar Sarawak akan datang berkampung selama seminggu di sini.

“Selain itu, ia juga pastinya memberi pulangan ekonomi kepada industri perhotelan, pengangkutan dan makanan,” jelas Rahman lagi.

Tambahnya, kejohanan tersebut turut mendapat sokongan padu dari Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Pejabat Residen Sri Aman dan beberapa agensi lain.

Manakala Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit dilantik sebagai Penaung Kejohanan. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *