Tempatan Stesen Petros di Darul Hana mula beroperasi

Stesen Petros di Darul Hana mula beroperasi

18

KUCHING: Stesen pengisian bahan api bersepadu 3 dalam 1 pertama di Malaysia, jenama Petros atau nama penuhnya Petroleum Sarawak Berhad memulakan operasinya di Darul Hana, Petra Jaya pada Sabtu.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain yang dipetik berkata dalam akhbar Suara Sarawak memberitahu prapembukaan stesen tersebut dilaksanakan pada jam 3 petang.

Majlis perasmian sebenar stesen itu dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 1 April depan.

“Hari ini (Sabtu), kita hanya melihat persekitaran dan kemudahan yang disediakan di stesen di Darul Hana ini.

“Dalam masa sama, kami memberikan sedikit hadiah kepada beberapa pelanggan pertama sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Tambahnya, ia merupakan yang pertama daripada enam stesen yang dirancang untuk negeri itu di bawah agensi pelaksana SEDC Energy Sdn. Bhd.

Katanya, stesen lain juga sedang rancak dibangunkan dan berjalan lancar.

“Selepas ini pembinaan diteruskan di Bintulu dan Batu Kawah, Kuching, diikuti Miri, Sibu dan Sri Aman,” jelasnya.

Menurut beliau, stesen Petros di Darul Hana menawarkan keperluan kenderaan termasuk bahan api fosil, elektrik dan hidrogen.

“Setakat ini kita menjalankan operasi bagi bahan api fosil dan pengecasan pengisian elektrik, manakala untuk hidrogen ia akan disediakan beberapa bulan akan datang,” jelasnya.

Bahan api pelbagai jenis tersebut dijangka dapat meminimumkan penggunaan tenaga kerja selain dipacu sistem internet, termasuk sensor automatik, analisis data dan pembayaran tanpa tunai melalui platform SarawakPay.

Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia mewujudkan stesen pelbagai bahan bakar dengan menyediakan bahan bakar konvensional, tempat mengecas kenderaan elektrik dan tempat pengisian bahan bakar hidrogen.

Ia dibina oleh SEDC Energy yang merupakan anak syarikat SEDC dan akan dikendalikan oleh Petros, syarikat dimiliki oleh Kerajaan Sarawak. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Previous articleIntipati ucapan penggulungan Ismail Sabri di PAU 2021
Next articleStesen minyak PETROS pertama di Malaysia mulakan operasinya di Darul Hana
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here