BINTULU: Bekalan kad pengenalan diri kanak-kanak (MyKID) di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Bintulu bukan sahaja dilaporkan habis sejak lebih setahun lalu, tetapi sistem perincian yang digunakan bagi memproses kad pengenalan pula tidak dinaik taraf mengikut keperluan semasa.
Lebih memeritkan, pemohon diminta mengemukakan permohonan kali pertama di JPN Cawangan Kuching di Simpang Tiga, JPN Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, JPN Negara Sibu dan JPN Miri yang bukan dalam Bahagian Bintulu.
Rentetan itu, perkara ini mengundang reaksi kecewa Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mendesak masalah ini perlu diatasi segera.
“Saya menegaskan bahawa Ibu Pejabat JPN serta JPN Cawangan Kuching perlu memandang serius terhadap isu ini dan patut ada perasaan malu dengan sistem perkhidmatan yang masih tidak ditambah baik.
“Fahamilah denyut nadi rakyat yang terpaksa menggunakan masa lama untuk mendapatkan perkhidmatan di lokasi yang jauh dari jarak kediaman mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Tiong turut menggesa agar JPN Cawangan Bintulu mengatasi masalah tersebut secepat mungkin bagi mengelakkan masalah sama berulang.
“Perkara ini tidak boleh diterima sama sekali.
“Pengarah JPN Cawangan Bintulu perlu mengatasi perkara ini segera dengan menyelesaikan masalah di bahagian pendaftaran, menambahbaik kekurangan yang ada, memastikan mekanisme teratur dilaksanakan dan menangani isu kekurangan kakitangan.,” katanya lagi.
Tambah Datuk Seri Tiong lagi, perkara itu akan dibangkitkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk tindakan lanjut termasuk mempertimbangkan semula cadangan menubuhkan UTC Cawangan Bintulu demi kepentingan rakyat.
“Sebelum ini sudah ada perancangan untuk mewujudkan UTC di Bintulu yang bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai, namun ia telah dibatalkan.
“Sehubungan itu saya berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan semula rancangan (untuk mewujudkan UTC di Bintulu) tersebut termasuk menaik taraf JPN Cawangan Bintulu,” tegasnya.