Menarik

Suami isteri, pagi bernikah dan petang konvokesyen

KUALA NERUS: Pagi bernikah, petang konvokesyen. Seorang siswazah meraikan kegembiraan berganda apabila dua majlis penting dalam hidupnya, iaitu akad nikah dan konvokesyen, berlangsung pada hari yang sama semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ameerul Hakim Muzi @ Ahmad Fauzi, 27, berkata dia dan pasangan, Nur Izzatul Nabilah Ghazali, 22, pada awalnya dijadualkan bernikah Mei ini.

“Namun disebabkan kekangan kerja isteri yang agak padat, tarikh tersebut telah dipercepatkan pada hari ini dan majlis sudah ditetapkan di sebuah hotel pada 10.30 pagi.

“Saya hanya tahu mengenai konvokesyen ini bulan lepas, jadi mustahil untuk saya tunda atau percepat tarikh pernikahan kerana semua persiapan sudah dibuat seperti tempahan hotel dan undangan tetamu,” katanya kepada pemberita di UnisZA di sini, semalam.

Katanya, dia pada awalnya sangat terkilan dan sedih kerana terpaksa membuat keputusan untuk tidak hadir pada majlis konvokesyen dan menganggapnya sebagai tiada rezeki.

“Namun, sebaik sahaja saya maklumkan kepada UniSZA saya tidak dapat hadir konvokesyen kerana ada majlis pernikahan, lain pula yang berlaku. Pihak pengurusan UniSZA memberi kebenaran untuk saya hadir pada sesi petang hari ini,” katanya.

Walaupun kepenatan, Ameerul Hakim berkata dia sangat teruja dan seronok kerana masih berpeluang meraikan dua majlis penting itu bersama rakan-rakan serta isteri tersayang, yang menurutnya akan menjadi memori paling manis untuk dikenang.

Seramai 3,238 siswazah UniSZA diraikan dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-13 UniSZA, yang berlangsung bermula semalam hingga Rabu di kampus Gong Badak, di sini.

Seramai 107 graduan dianugerahkan Doktor Falsafah, 84 graduan dianugerahkan Sarjana Sains dan Sarjana Sastera, seramai 1,753 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 1,152 graduan menerima diploma dalam konvensyen kali ini.-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *