KUCHING: Keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol 2 hingga 5 kilogram bermula 1 Julai ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Ini kerana ia akan menyebabkan harga minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan mengalami kenaikan.
Bagi penjual cucur campur, Dayang Saloma Awang Julai, 56 tahun berkata, kenaikan harga minyak itu akan menyebabkan harga barang jualannya juga terpaksa dinaikkan.
“Saya selalu menggunakan minyak paket dan minyak botol untuk membuat cucur campur ini.
“Sekiranya subsidi minyak dimansuhkan, barang jualan saya juga terpaksa dinaikkan harga sedikit kerana harga minyak naik dan barang lain juga akan turut naik harga,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu bagi pemilik kedai makan Kafe Jantayu, Rabiah Dris, 73 tahun yang turut senada berkata, pemansuhan ini akan memberi kesan kepada perniagaan kedai makanannya.
Jelas Rabiah, beliau tidak menolak kemungkinan untuk turut menaikkan harga makanan yang dijual di kedai miliknya itu bagi menampung kos yang dihadapinya.
“Sebagai pemilik kedai makan, kita sentiasa memerlukan minyak untuk menyediakan lauk pauk dan banyak juga kegunaan minyak dalam hidup seharian.
“Walaupun kami tidak memakai minyak botol, tapi kami juga akan terkesan kepada kenaikan barang-barang lain terutama sekali barang makanan yang ada di kedai ini.
“Kami terpaksa menaikkan harga barang makanan yang dijual.
“Sekiranya tiada minyak paket, kami terpaksa juga menggunakan minyak botol untuk menyediakan makanan di kedai,” jelasnya.
Manakala, menurut surirumah sepenuh masa, Norainy Buang Sejili, 56 tahun berkata, beliau mengakui akan turut terkesan dengan kenaikan harga itu nanti.
Norainy berkata, ia terpaksa ditanggung kerana minyak masak botol iu telah menjadi keperluan bagi keluarganya.
“Saya menggunakan minyak masak botol ini setiap hari untuk memasak dan setiap bulan saya akan membeli di kedai minyak masak botol 5 kilogram.
“Walaupun harganya nanti akan naik, saya terpaksa menghadapi kenaikan harga minyak botol itu,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, telah mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram bermula 1 Julai 2022.
Dato Sri Alexander Nanta menjelaskan, keputusan itu menyebabkan harga minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan mengalami kenaikan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.-SARAWAK NEWS