Sukan Sudah tiba masa Liga-M guna VAR

Sudah tiba masa Liga-M guna VAR

13
Gambar hiasan

KUCHING: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad menegaskan, sudah tiba masanya badan induk bola sepak negara untuk mengguna pakai teknologi video bantuan pengadil (VAR) yang dilihat sangat membantu dalam meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, penggunaan teknologi itu dilihat semakin terdesak susulan beberapa kontroversi yang tercetus membabitkan mutu pengadilan dalam saingan Liga-M ketika ini.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau menjelaskan penggunaan VAR dalam kancah Liga-M dilihat bukan sahaja mampu menangani keputusan kontroversi pengadil, malah ia juga dapat meningkatkan lagi mutu pengadilan seseorang pengadil.

“Keputusan yang dikeluarkan seseorang pengadil perlawanan itu sangat mustahak. Kalau keputusan yang dibuat oleh mereka itu salah, ia boleh menyebabkan sesebuah pasukan itu merana walaupun mereka beraksi dengan baik.

“Jadi, saya rasa FAM perlu segerakan penggunaan teknologi VAR bagi mengelak keputusan-keputusan kontroversi seperti yang berlaku dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Mereka sudah tidak boleh melewat-lewatkan penggunaan teknologi ini.

“Sebab, selain bantu mengelak keputusan kontroversi yang akan beri impak kepada pasukan bertanding, ia juga mampu meningkatkan mutu pengadilan Liga-Malaysia itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

FAM dalam satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil perlawanan dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC ketika menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu lalu.

“Sampai bila kita mahu kaji penggunaan VAR di Malaysia ini. Malah, beberapa negara jiran kita seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia juga sudah memulakan penggunaan teknologi ini untuk diimplementasi dalam liga mereka.

“Saya ingin bertanya kepada FAM, adakah kita mahu lihat banyak lagi keputusan kontroversi dilakukan pengadil? Sebab nanti yang akan rugi adalah kita sendiri.

“Nama liga buruk, penyokong sudah tidak mahu menonton bola sepak dan paling teruk, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah tidak ada kepercayaan kepada pengadil kita untuk mengadili perlawanan antarabangsa,” ujarnya. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Previous articleIsu Kewarganegaraan: Sarawak Guna Dokumen Khas Sementara
Next articleUnit Risikan Marin PPM W5 Bintulu tahan seorang lelaki sedang mengisi minyak 993 liter
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here