KUCHING: Apakah masalah sehingga terpaksa merayu kepada kontraktor untuk mempercepatkan projek yang sepatutnya siap November 2021?
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian menzahirkan rasa kecewanya terhadap kontraktor apabila Projek Pembinaan Penghadang Konkrit Keselamatan di Jalan Batu Kawa (Jalan Persekutuan) lewat disiapkan.
Jelasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan pembekal perkhidmatan itu diberikan kontrak secara tender terbuka pada Ogos 2021 dengan tarikh siap pada November 2021.
Bagaimanapun kerja-kerja tersebut tidak dapat disiapkan pada tarikh tersebut sehingga diberikan surat amaran kali ketiga baharulah kerja-kerja pembinaan itu dilaksanakan.
“Sangat menyedihkan di Sarawak apabila kita perlu merayu kepada kontraktor dengan wang untuk melakukan kerja mereka.
“Selepas surat amaran ketiga, kini baru dapat dilihat kemajuannya 10 hingga 25 peratus dengan tarikh baru siap pada 21 Mei 2022,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Beliau mengulas mengenai Kemajuan pembinaan Penghadang Konkrit Keselamatan di Jalan Batu Kawa yang lewat berbanding tarikh sebenar.
Tidak cukup dengan itu, Dato Sri Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa turut mempersoalkan adakah adil untuk memberikan semua kontraktor tempatan yang kurang berprestasi begitu banyak peluang?
“Patutkah kita membuka tender terbuka ke luar Sarawak? Siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna Jalan Batu Kawa?
“Kami mahukan kontraktor Sarawak yang cekap dan berdaya saing. Tiada alasan,” tegasnya.
Sementara itu, beliau meminta JKR Sarawak memantau dan menguruskan lalulintas bagi meminimumkan kesulitan pengguna jalan raya khususnya pada waktu puncak.