KUCHING: Selepas dikecewakan dalam dua aksi Liga Super, Sarawak United FC (SUFC) kembali dengan aksi lebih mantap dalam saingan Piala FA 2022.
Pasukan itu memadam duka dengan membelasah wakil dari Liga M3, Ultimate FC 7-0 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Ahad.
SUFC tidak menunggu lama apabila berjaya mendahului pasukan kendalian bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan pada minit kesembilan hasil jaringan pemain import, Boris Kok.
Bersambung babak kedua, giliran kapten SUFC, Uche Agba meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-51 selepas menerima hantaran cantik Nur Shamie Iszuan Amin.
Nur Shamie berpeluang untuk meledak sekurang-kurangnya dua gol selepas itu namun disia-siakan oleh penyudah yang tumpul.
Penantiannya bagaimanapun berakhir pada minit ke-58 selepas percubaan kencangnya berjaya membolosi penjaga gawang Ultimate FC, Mohamad Firdaus Yusof.
Minit ke-71, SUFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Uche dijatuhkan dalam petak bahaya.
Pemain dari Nigeria itu tidak mensia-siakan peluang dengan meledak gol keempat SUFC dan gol kedua peribadinya pada minit ke-72.
Berselang seminit kemudian, giliran pemain sayap lincah, Ahmad Khairil Anuar meletakkan nama selaku penjaring.
Pesta gol SUFC diteruskan dengan jaringan keenam hasil penyudah penyerang, Mohammad Zharmen Ashraf pada minit ke-81.
Pemain import SUFC, Francis Kone menceriakan lebih 500 penyokong Ngap Sayot dengan meledak gol ketujuh pada minit ke-86. – SN